KENANGAN KAMI

Khidmat Kami..

3 Hari Dalam Hidup Kita : Selamat Datang Semester Baru

Assalamualaikum wbt..

Sahabat yang dikasihi, dalam hidup ini ada 3 jalinan masa yang tidak boleh dipisahkan. Setiap masa ini punya harga yang tidak mampu dibeli oleh sesiapa, cuma mampu dihargai oleh mereka yang benar-benar bijaksana.


Hari Pertama: Hari Semalam

Senja yang berlalu menjadikan kita tidak mampu lagi menatap mentari, hanya rembulan yang bakal menjadi penyeri di malam hari. Hakikat Hari Semalam menjadikan setiap kata yang terungkap tidak mampu untuk ditarik kembali. Andai kata-kata itu menusuk sanubari, pasti ia akan kekal sebagai parut memori walau maaf sudah dimeterai. Andai penyesalan hari semalam, ianya sekadar kehijaun atau kehitaman sejarah yang indah mahupun berdarah. Hakikatnya, walau apa pun yang telah terjadi, panjatkan keazaman pada Tuhan, moga esok lebih berseri ukiran dan lukisannya.

Hari Kedua : Hari Esok

Bukan salah untuk kita mengharapkan apa yang belum ada, tapi jangan lupa apa yang telah ada. Hari kedua, hari yang memungkin kita pada segala-galanya. Bukanlah hari esok, malahan saat berikutnya, kita sendiri tidak tahu dimana kita bakal berada, samada masih bergelar manusia yang punya jiwa mahupun sekujur tubuh yang menanti persoalan untuk ditanya tentang hakikat iman dan amal. Mentari esok mungkin cerah menerangi setiap sudut hidup ini, namun siapa tahu ribut badai tatkala terbukanya mata di fajar keesokannya. Ceria, sedih, gelak ketawa, kecewa mahupun gembira..tiada siapa yang mampu meneka secara tepatnya.


Hari Ketiga : Hari Ini

Apa yang masih tersisa pada diri kita hanyalah Hari Ini, hari yang memungkinkan kita dipuncak jaya pada saat berikutnya, hari yang memungkinkan syahadat menjadi penutup lisan disaat berikutnya ataupun kegersangan hati meraih bahagia dihari berikutnya. Hakikatnya, inilah harta yang masih ada, buat kita hargai, buat kita sama-sama rebut dan warnai supaya menjadi tatapan penyejuk hati pada keesokan hari. Berjaya, gagal, sedih mahupun gembira.. Hari inilah penentunya.

Kita Cuba Dengan Kudrat Yang Ada

Sisipkan ketabahan, pasakkan keazaman didalam sanubari, moga esok lebih baik dari hari ini.
Saiyidina Ali radhiyAllahu 'anhu pernah berkata yang lebih kurang berikut:
"Beruntunglah mereka yang hari ini lebih baik daripada hari semalam, terpedayalah mereka yang hari ini sama seperti hari semalam, celakalah mereka yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam."
Sebuah lagi kata mutiara yang membawa maksud yang serupa:
"Hendaklah hari ini lebih baik daripada hari semalam, dan hendaklah hari esok lebih baik daripada hari ini."
Muhasabahlah selalu......

p/s:mungkin bicara ini hanya mampu diungkap , namun inilah cita-cita yang saban hari meniti di sanubari. Bukan mudah, kerana besarnya mujahadah . Segalanya perlu dibayar dengan harga yang cukup mahal..doakan bersama
sumber: http://lukisansebuahkehidupan.blogspot.com
 

RANGKUMAN AKTIVITI : EDISI: SEMESTER(JAN-JUN 2011)


Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, tadahan dua tapak tangan ini disulami hati penuh kesyukuran diatas rahmat dan kurnia Illahi. Bersyukur juga dari pihak ESC kepada kesemua pihak yang telah menjayakan pelbagai program yang telah dijalankan untuk semester ini. Berbekalkan sedikit pengalaman, koreksi serta eksplorasi ilmu antara kami, dapat juga dijayakan beberapa program pada awal semester(januari-jun 2011) kali ini.
Berikut merupakan rangkuman beberapa aktiviti yang telah kami jayakan :

PROGRAM MOTIVASI KECEMERLANGAN UPSR SK SRI AMAN, KOTA BHARU

KEM KEPIMPINAN , SM TEKNIK BESUT, TERENGGANU

CERAMAH MOTIVASI KECEMERLANAGN UPSR  SK TENGKU MAHMUD, BESUT

PROGRAM SINAR KEMBALI, PISMP SEMESTER 1

PROGRAM MOTIVASI UPSR, SK TOK MOTONG

PROGRAM KECEMERLANGAN UPSR PERIBUMI 1

PROGRAM KOREKSI DIRI DAN CARA BIJAK BELAJAR, SMK PELAGAT

PROGRAM MOTIVASI DAN HIJRAH AKHLAK, SK AYER MERAH MACHANG ,KELANTAN.

Kebanyakan program diatas dijalankan menggunakan modul kami sendiri, 3 modul yang digunakan adalah modul JUARA, X-FACTOR, dan PRO SOLAT. Walaupun ada beberapa kelemahan, namun alahamdulillah dapat diatasi dan insyaAllah akan cuba diperbaiki untuk masa akan datang.

InsyaAllah, langkahan ini akan kami teruskan untuk semester akan datang.

p/s: 
 1. Laporan penuh setiap aktiviti akan kami rangkumkan/post di masa akan datang..
2. adalah satu pengharapan agar setiap perkongsian itu dimanfaatkan sepenuhnya. Bukanlah sebanyak mana wang yang kita perolehi,bukanlah juga berapa titis keringat yang kita keluarkan, namun, nilai sebuah perubahan menjadi seorang INSAN itulah yang didambakan..ayuh kita doakan... =]..
 

 

Inspirasi Si Kecil Bernama Semut ..

Kita seringkali terdengar perumpamaan rajin seperti semut tetapi tahukah kita kenapa wujud perumpamaan sedemikian? Mungkinkah ada perumpamaan lain yang juga sesuai untuk semut?
Semut, makhluk Allah yang kecil, tetapi kecilnya seperti cili padi, pedas dan confirm berasap? kenapa ya?
Kalau kita perhatikan semut, semut akan selalu berusaha secara berulang-ulang dan terus menerus sehingga ia berjaya mencapai matlamat yang digenggam.

Analogi yang diberikan cukup mudah. Bayangkan kalau ada cebisan makanan di lantai, dan cebisan itu saiznya jauh lebih besar daripada si semut, tetapi pernahkah nampak semut tidak mengerumuni cebisan makanan itu? Tidak bukan? Semut akan berusaha mengangkut cebisan makanan itu ke sarangnya sedikit demi sedikit sehinggalah habis.
Andai dalam perjalanan mengangkut cebisan makanan itu terhalang, semut akan berusaha sedaya upaya dan memilih jalan yang lain mungkin ke kiri dan mungkin juga ke kanan sehinggalah matlamatnya untuk mengangkut cebisan makanan tersebut ke sarangnya tercapai.
Kadang-kadang jalan yang dilalui si semut itu terhalang dek air, maka ia bersama kawan-kawannya saling berkerja sama membuat jambatan. Jika semut-semut yang lain sudah menyeberang, maka semut-semut yang membentuk jambatan akan merapat ke tepi.
SubhanAllah, Indahnya ciptaan illahi :)

Hakikatnya, semut mempunyai kekuatan yang luar biasa dalam mewujudkan tekadnya untuk meraih apa yang diinginkan malahan ia tidak pernah kenal erti penat mahu pun lelah.
Sebagai perkongsian cerita, pada suatu masa dahulu ada seorang arab badwi pergi merantau kerana sesuatu keperluan. Dia merasa sangat letih dan penat serta berputus asa. Maka ia terduduk dan berfikir untuk kembali lagi. Kemudian dia melihat seekor semut yang merangkak naik ke atas batu besar, namun semut tersebut jatuh dan semut itu terus merangkak naik lagi ke atas batu besar itu berulang-ulang kali.
Setelah mencuba, akhirnya semut itu berjaya menaiki batu besar itu . Melihatkan situasi tersebut, si arab badwi itu berkata " Saya sepatutnya bersabar dan berusaha keras lebih daripada semut tersebut."
Akhirnya si arab badwi itu meneruskan perjalanannya dan berjaya sampai ke tempat yang ditujunya dan dia berkata "Cari dan raih , jangan pernah berkeluh kesah dan bosan dari usaha meraih apa yang kamu inginkan. Kerana penyakit orang yang ingin mencari dan meraih sesuatu adalah bosan."

Hebatkan si kecil bernama semut?
Terdapat kajian yang dijalankan menunjukkan semut mengumpulkan makanannya dari musim panas sehinggalah ke musim sejuk. Oleh sebab semut tidak banyak keluar pada musim sejuk, maka makanan yang telah dikumpul hanya di makan apabila tiba musim sejuk ini.

Cara semut untuk memastikan makanan yang disimpan itu kekal elok, maka dengan kuasa illahi semut tersebut akan membelah ditengah biji bijian itu di tengah bagi memastikan makanan itu tahan lama.
Semut mempunyai sifat cekal dan kesabaran yang tinggi malahan kita wajar mengambil iktibar darinya. Malah seandainya anda meletakkan sebuah batu ditengah-tengah jalan yang digunakan oleh kawanan semut, mereka tidak berundur sebaliknya mencari jalan lain dan berusaha sehingga matlamat itu tercapai.
Kalau dulu, saya hanya percaya perlu rajin seperti semut, tetapi kini saya percaya perlu gigih dan cekal seperti semut.

- Artikel iluvislam.com
 

MIMPI DAN IMPIAN : AYUH ! KITA WARNAKAN

Untuk yang berimpiankerajinan sudah menjadi resminya, kesungguhan itulah karakternya dan kecemerlangan adalah tabiatnya. Dia manusia realistik kerana kejayaannya dibina, bukannya dikejar. Oleh kerana kejayaannya dibina, ia kukuh berpijak di bumi nyata. Jika dia mengejar kejayaan, kejayaan itu sendiri akan semakin jauh seperti pelangi yang tidak mungkin digapai.

Kejayaan Dicipta, Bukan Nasib

Lihatlah mereka yang sebenar-benarnya berjaya. Kejayaan mereka dicipta. Ia bukannya nasib. Dari segi zahir, kejayaan yang diperoleh tampak begitu senang dan mudah. Padahal, segala derita sengsara, duka nestapa dan peluh bersama air mata darah telahpun dihadapi dengan sabar, reda dan pasrah.
Senyuman Siti Nurhaliza sambil bernyanyi dengan suara yang lantang tampak begitu bersahaja. Tidak kelihatan urat timbul di lehernya, kerut dahinya, cemik wajahnya kerana pasti dia sudah melalui latihan demi latihan secara konsisten. Kita tidak tahu pantang makan minumnya untuk menjaga suara, cukup atau tidak tidurnya demi menjaga stamina, rasa kecewanya kerana tidak dapat mengingat lirik lagu-lagu terbaru untuk malam persembahan. Namun, apa yang terpamer ketika persembahan ialah kerehatan di wajahnya.
Sengih tokoh politik yang menjawab dengan tenang bila berdepan dengan soalan-soalan nakal wartawan, atau amaran dari ahli-ahli akar umbi partinya, mahupun jerkah seorang wakil orang kampung di dalam majlis dialog adalah hasil daripada latihannya untuk memahami kerenah manusia. Mana kita tahu betapa hatinya sesak menelan dengan segala umpat dan fitnah, tidur-tidur ayamnya memikirkan masalah yang diperjuangkan dan keluhannya bila membuat keputusan yang tidak popular?

Tokoh korporat, panglima tentera, doktor, peguam, akauntan, jurutera, arkitek, profesor, pentadbir, aktivis NGO, guru, malah kerani yang berjaya biasanya mempamerkan peribadi yang tenang dan menyenangkan mereka yang berurusan dengan mereka. Tiada nampak kesukaran di wajah mereka. Yang paling ketara, orang-orang yang berjaya kerana membina kejayaan biasanya akan mempunyai masa untuk kita. Seolah-olah dirinya tidak sibuk dengan urusan lain kecuali melayani kita sahaja.
Kerana itu, kejayaan seseorang mahupun organisasi tidak boleh ditiru begitu-begitu sahaja. Jika kejayaan ditiru, ia tidak akan kekal lama. Tidak kiralah sama ada kejayaan menguruskan badan seperti duta makanan diet, menjadi pelakon popular, pemain bolasepak terkenal ataupun seorang novelis prolifik. Oleh kerana ia hanya tiruan, kejayaan yang diperoleh biasanya hanya sekejap. Puncaknya hanya dapat disentuh seketika sahaja hari ini. Pada hari esoknya, dia akan menggelongsor ke tempat asal.

Menjejaki Daya, Bukan Meniru Gaya
Yang penting untuk berjaya ialah menjejaki daya mereka yang berjaya, bukannya meniru gaya mereka yang telah berjaya. Akibat hanya meniru gaya, kita hanya memperoleh kulit kejayaan. Sebaliknya bila kita meniru daya orang yang berjaya, kita akan memperoleh isi kejayaan itu sendiri.
Malang sekali, apabila kita lihat seseorang individu itu berjaya menjadi penyanyi misalnya, maka berduyun-duyunlah mereka yang ingin menirunya. Atau apabila terdapat sebuah syarikat berjaya memasarkan sesebuah produk dengan pendapatan berjuta ringgit, akan muncullah syarikat-syarikat yang menggunakan formula yang sama. Banyak syarikat begitu yang tumbuh seperti cendawan. Padahal, apa yang tumbuh seperti cendawan akan cepat mati seperti cendawan juga!
Pendek kata, mana ada jalan pintas untuk berjaya? Malah, jika kita gunakan segala pengaruh, kuasa dan wang untuk memasuki lebuh raya kejayaan, ia pasti dihalangi dengan pelbagai tol kerenah yang bukan-bukan sebagai imbuhan.

P/S : janganlah bermimpi untuk berjaya. Sebaliknya kita mesti memasang impian. Ini adalah kerana, mimpi dan impian adalah dua mode minda yang berbeza!
 

MOTIVASI : MEWUJUDKAN KEYAKINAN DALAM DIRI !!

Janjilah kepada diri sendiri bahawa tanpa mengira betapa susah sesuatu masalah yang anda hadapi dalam kehidupan anda, anda akan mencuba dengan sedaya upaya anda untuk membantu diri sendiri.
Anda mengakui bahawa usaha anda untuk membantu diri sendiri itu mungkin tidak berbuah kerana pemberian ganjaran yang wajar adalah di luar kawalan anda.
Keyakinan ialah kepercayaan yang tidak berbelah bagi.
Keyakinan diri pula ialah kepercayaan bahawa dirinya boleh mengendalikan kehidupannya dengan baik serta segala cabaran yang dihadapi dengan jayanya

Mari kita hayati 10 Tips Mewujudkan keyakinan diri;

01.Anggapkan diri anda yang diciptakan oleh Allah adalah sama seperti orang lain, tiada yang kurang dan tiada juga yang lebihnya.
02.Orang lain boleh buat, kenapa anda tidak boleh buat? Pedulikan apa orang nak kata tapi yang penting pelajari apa orang lain buat terlebih dahulu sebelum kita buat.
03.Apa kekurangan/kelemahan yang ada pada diri anda dan baikinya. Jangan biarkan ia terus berkekalan tanpa ada sebarang usaha dari anda.
04.Jangan takut-takut atau teragak-agak untuk melakukan sesuatu yang positif. Berani!
05.Elakkan perasaan malu yang tidak bertempat. Ketepikan! Tonjolkan diri anda.
06.Lakukan riadah yang ringan sebelum melakukan sesuatu pekerjaan, ianya sebagai warm up dan dapat mengaktifkan diri seseorang.
07. Kemas diri dan anggapkan diri anda adalah terbaik pada hari itu. Ya saya boleh!
08.Apabila berinteraksi pandang tepat pada muka dan mata orang yang kita sedang berinteraksi dan gunakan sedikit pergerakan tangan untuk menerangkan sesuatu. Jangan terlalu kaku.
09.Apabila memulakan sesuatu tugas jangan memikirkan tentang masalah, tetapi fikirkan tentang hasilan yang akan dapat selepas tugas tersebut.
10.Sentiasa peka terhadap waktu, jangan berlengah-lengah atau bertangguh dalam melaksanakan sesuatu tugas. Masa itu emas! Setiap waktu berharga.

p/s: Allah ciptakan manusia....sebaik-baik ciptaan...duhai pembaca...ayuh kita berubah...=]